Kita hidup dalam dunia yang berubah terlalu pantas. Hari ini idea kita laku, esok pesaing dari entah mana muncul dengan harga lebih murah, sistem lebih cantik, ayat jualan lebih ‘power’. Kita bukan lagi bersaing dengan orang sebelah rumah, tapi dengan dunia. Dan sebagai wanita berbisnes atau buat affiliate, kita cuba bertahan sambil urus keluarga, emosi, dan tanggungjawab harian.
Dalam tekanan itu, ramai antara kita mula buat keputusan yang sebenarnya tak masuk akal. Kita sibuk fikir, “Apa lagi aku boleh buat supaya orang beli?”
Tambah ayat jualan.
Tambah upsell.
Tambah caj.
Tambah pressure.
Tanpa sedar, kita sedang buat perkara yang menjauhkan orang — bukan mendekatkan.
Kita takut orang ambil kesempatan.
Takut rugi.
Takut pelanggan ‘manja’.
Takut kalau kita terlalu baik, bisnes tak naik.
Kita mula buat benda-benda kecil yang nampak remeh, caj untuk perkara yang dulu kita bagi percuma. Jawab mesej dengan ayat ringkas dan padat. Supaya orang “faham sendiri”.
Solusi
Mungkin soalan in terlintas, “Apa lagi aku boleh buat?”
Ubah jadi, “Apa yang patut aku berhenti buat?”
Berhenti menyusahkan pelanggan.
Berhenti berkata “tak boleh” tanpa empati.
Berhenti caj untuk benda yang sepatutnya buat orang rasa tenang.
Cari apa yang buat pelanggan keliru, letih, rasa bersalah atau putus asa — dan hentikan. Itu sahaja.
Bisnes yang bertahan bukan yang paling agresif, tapi yang paling memahami.
Bukan yang paling ‘clever’, tapi yang paling manusiawi.
Kadang-kadang, untuk maju…
kita cuma perlu berhenti buat benda yang bodoh, walaupun ia nampak biasa.

